Inang Popin Teater Kanak-Kanak Menanti Anda Pada 27 Oktober 2022 hingga 30 Oktober 2022

0 Comments


PH7 Production Management akan mementaskan sebuah teater untuk kanak-kanak bertajuk Inang Popin pada 27 Oktober 2022 hingga 30 Oktober 2022, di KuAsh Theatre, Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Teater karya dan arahan Hariry Jalil ini dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia (MoTAC) menerusi Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK).


Inang Popin mengisahkan Ana dan Noman, dua orang kanak-kanak yang mengharapkan perlindungan setelah kematian ibu bapa dan kampung mereka pula telah dimusnahkan oleh Tuan Tamak. Mereka membawa diri ke hutan untuk mencari Inang Pengasuh yang menjadi dongeng orang kampung. Setelah menempuhi pengembaraan yang mencabar, akhirnya mereka berjaya bertemu Inang Pengasuh yang memiliki kuasa sakti.


Inang Pengasuh yang dianggap sebagai ‘Mary Poppins’ itu, menjaga serta mengasuh Ana dan Noman supaya menjadi manusia yang bertanggungjawab ke atas kelestarian hutan. Apabila Tuan Tamak menceroboh hutan demi keuntungan peribadi, Ana dan Noman telah berani bertindak mempertahankan hutan.


“Saya ingin berkongsi rasa tanggungjawab ke atas khazanah semula jadi kepada anak-anak yang merupakan pewaris negara ini; dan saya percaya, kita sebagai orang dewasa hari ini adalah penentu masa depan yang lebih baik buat anak-anak. Medium teater dipilih kerana ruang teater yang bersifat akrab dapat menghantar rasa antara karya dengan penonton,” kata penulis dan pengarah Inang Popin, Hariry Jalil.


Menyentuh kaitan watak ciptaan penulis Inggeris P. L. Travers iaitu ‘Mary Poppins’ di dalam karya ini, Hariry menjelaskan, “Inang Popin merupakan karya pertama saya untuk kanak-kanak. Sebelum ini, saya menulis lakon pentas dengan mengangkat isu dewasa seperti Beng Hock, Le Jeu La Julia, Selamat Hari Natal – Natalie, Surat Sabariah dan Orang Asing. Watak pengasuh sakti Mary Poppins dicipta P. L. Travers sebagai memenuhi harapan kanak-kanak di samping mendidik anak-anak supaya menjadi lebih berani dan berdikari.




Watak fiksyen ini telah memberi inspirasi kepada saya untuk mencipta watak Inang Popin, gabungan watak Inang Pengasuh di dalam cerita-cerita persembahan tradisional Melayu seperti Bangsawan dan Mak Yong, dengan gambaran watak yang lebih dikenali kanak-kanak masa kini. ‘Popin’ adalah sebutan kolokial kepada ‘Poppins’.”


Patricia Gui dan Hamidon Ab. Hamid, adalah penerbit yang merealisasikan teater untuk kanak-kanak ini ke pentas. Dengan pengalaman lebih 30 tahun di dalam pengurusan seni persembahan baik tempatan mahu pun antarabangsa, menerima GSSK merupakan sebuah galakan daripada MoTAC kepada penggiat seni teater tanahair agar terus kekal berkarya setelah 2 tahun berada di dalam ‘era gelap’.

“Selain galakan daripada kerajaan, kami sebagai penggiat seni teater juga mengharapkan sokongan daripada pihak korporat. Industri seni persembahan tanahair masih belum bertemu sebuah formula menjana pendapatan daripada pementasan, memandangkan kesedaran masyarakat terhadap teater belum menjadi budaya seperti di negara barat. Oleh itu, galakan dan sokongan kerajaan dan korporat masih diperlukan demi kelestarian seni teater tanahair,” kata Patricia dan Hamidon.


Tambah mereka lagi, “Teater kanak-kanak di negara kita kurang mendapat perhatian berbanding teater konvesional. Kami mengambil inisiatif ini untuk memperbanyakkan lagi kewujudan teater kanak-kanak, walau pun Inang Popin tidak melibatkan pelakon kanak-kanak, tetapi isu dan konsep persembahannya memang khusus untuk kanakkanak. Kehadiran murid-murid sekolah amat dialu-alukan.”  Inang Popin dijayakan oleh Nasz Sally sebagai Inang Popin, dan turut dibintangi oleh Aloeng Silalahi, Ghadafi Meliki dan Aida Amron.


Inang Popin dipentaskan di KuAsh Theatre, Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur

1). 27 Oktober 2022 (Khamis) & 28 Oktober 2022 (Jumaat) jam 8.30malam;

2). 29 Oktober 2022 (Sabtu), jam 3.00 petang & 8.30 malam; dan pada

3). 30 Oktober 2022 (Ahad), jam 3.00 petang.

Tiket berharga RM30 untuk kanak-kanak & RM50 untuk dewasa.

Pembelian tiket pakej keluarga hanya RM120 untuk 2 kanakkanak & 2 dewasa. Hubungi 010-248 5068 (Wany) untuk pembelian tiket.

Ikuti perkembangan mengenai Inang Popin – Teater Untuk Kanak-Kanak di laman rasmi PH7 Production Management; Instagram @ph7.productionmanagement dan Facebook https://www.facebook.com/ph7productionmanagement/

#InangPopin




You may also like

No comments:

Powered by Blogger.

Ads Top

About me

Contact Form

?+ numposts +&orderby=published&alt=json-in-script&callbackpublished&alt=json-in-script&callback=labelthumbs' type='text/javascript'>

Home Ads

Instagram

Flickr

Pages

Follow Us

Like us on Facebook

Newsletter

Author

Popular Posts